1. Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak sedang mempergiatkan program pemeliharaan dan pemulihan hutan untuk merealisasikan konsep 'Forest Beyond Timber' serta meningkatkan kualiti dirian hutan.
2. Ini merupakan salah satu inisiatif pihak Jabatan bagi merealisasikan komitmen kerajaan dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok sepertimana yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992.
3. Pihak Jabatan menyedari peningkatan minat daripada pelbagai agensi khususnya di luar bidang perhutanan untuk melibatkan diri dan menyumbang secara sukarela di dalam aktiviti pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar.
4. Menyedari hasrat tersebut, Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu program bagi memberi peluang kepada pihak swasta yang berminat terlibat dalam aktiviti pemeliharaan dan pemulihan hutan. Program tersebut adalah Perak Oxygen-Land Bank (POLB).
5. Secara amnya, POLB yang meralisasikan konsep 'Forest Beyond Timber' ini ditawarkan kepada badan korporat, syarikat swasta, Non-Government Organization (NGO) dan individu yang berminat melalui pendekatan Corporate Social Responsibility (CSR).
6. POLB adalah program jangka panjang (long term programme) di mana ianya telah diwar-warkan kepada orang awam semenjak tahun 2018 dan dirasmikan oleh mantan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu pada 20 November 2019.
7. Pemilihan nama POLB adalah bertepatan dengan fungsi pokok yang menghasilkan lebih banyak oksigen dan udara segar dengan meningkatkan kawasan hijau atau litupan pokok melalui aktiviti penanaman pokok baharu. Pokok sediada ditawarkan kepada pihak swasta sebagai pokok angkat untuk dipelihara bagi tempoh tertentu dengan dikenakan sejumlah bayaran.
8. Bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan pihak swasta, Jabatan telah merangka satu pakej yang lebih menarik dengan mengkaji semula kadar bayaran dan menawarkan lebih banyak pilihan melalui pindaan Kaedah-Kaedah Hutan 1988 yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2021. Terdapat 3 kategori dalam pakej terkini POLB iaitu penanaman pokok baharu; rawatan & selenggara pokok yang telah ditanam; dan pemelihara pokok sediada.